Skip to content

Homoseksual: Kesan perspektif politik

November 4, 2011

Setelah jelas, terang lagi nyata bahawa program Seksualiti Merdeka 2011 dapat dikaitkan dengan seerat-eratnya dengan Pengerusi BERSIH S Ambiga, Majlis Peguam dan SUARAM yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada PR, sudah semestinya hal ini menimbulkan persoalan sama ada adakah kegiatan ini disokong oleh pihak politik. Jelas lagi nyata (hukum tajwid: izhar) badan-badan inilah yang sentiasa mempertikaikan perkara berkaitan Islam, undang-undang syariah dan nilai-nilai keIslaman yang menjadi status quo di Malaysia, usaha mereka untuk menghalalkan kegiatan homoseksual menjadi satu lagi cabaran untuk pengekalan status quo itu.

Lebih memeningkan, apabila Mursyidul Am PAS merangkap MB Kelantan Sahibus Samahah Al-Ustaz Tuan Guru Dato’ Bentara Diraja Dato’ Nik Aziz Nik Mat menyatakan pandangan dikotomi yang menyokong perjuangan kebajikan oleh Ambiga namun menentang pula perjuangan hak asasi homoseksual oleh orang yang sama. Bukankah hak asasi homoseksual juga merupakan satu perjuangan kebajikan untuk golongan tersebut juga?

Dikotomi sebeginilah yang seharusnya diambil perhatian masa sekarang terutamanya oleh PAS. Sebab seandainya PR berjaya memenangi pilihan raya sudah semestinya penyokong-penyokong mereka daripada luar lingkungan PR mahu mereka memenuhi hasrat dan inspirasi mereka lantaran mereka jualah yang menyebarkan dakyah, aspirasi dan idealisme menyokong pembangkang. Penyokong-penyokong inilah jugalah yang melakukan penerbitan itu dan ini dan boleh dikatakan kesemuanya memberikan sokongan penuh kepada pihak PR; jadi semestinya mereka mempunyai persepsi dan jangkaan bahawa sokongan yang diberikan dengan tidak berbelah bagi kepada PR akan membolehkan idealisme dan ‘desakan’ mereka dipenuhi.

Malangnya perhatian yang diharapkan oleh PAS dalam keadaan sebegini tidak berlaku. Acap kali, apabila timbul sesuatu isu berkaitan Islam yang dibawa oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ‘sokongan’ terhadap PR, biasanya PAS akan menyokong terlebih dahulu tindakan oleh pihak kerajaan namun, menjelang masa tatkala sudah ‘mendapatkan pandangan dan persetujuan’ daripada pihak rakan Pakatan, lain pula ceritanya. Kerana selepas itu, akan terkeluarlah bahawa UMNOlah yang menjadi angkara sesuatu isu itu. UMNOlah yang bersalah. UMNOlah dalang disebalik itu dan ini. UMNOlah punca segala masalah berkaitan Islam…

Kita lihat contoh terdekat tahun ini apabila JAIS menyerbu gereja di Damansara kerana dipercayai berlaku kegiatan memurtadkan orang Islam. Pada asalnya, mereka melalui pemimpinnya yang sekerat dua itu begitu menyokong serbuan tersebut. Mereka turut bertegas bahawa umat Islam tidak boleh dimurtadkan oleh penganut agama lain. Perkara ini terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, setelah ‘bermesyuarat’ dengan rakan Pakatan, lain pula hasilnya. Mereka dapati bahawa UMNO sebagai dalang serbuan gereja tersebut! Pada hemat mereka,UMNO yang menyebarkan propaganda kurang sihat yang membabitkan umat Islam dan lantaran itu, kerja UMNO juga yang menyebabkan gereja tersebut diserbu! Begitu mudahnya tindakan pusingan U yang dilakukan oleh PAS. Seolah-olah mereka telah mengalami transformasi bahawa segala permasalahan ketika itu semuanya salah UMNO.

Begitu juga dengan hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS sedari awal kewujudannya. Sudah semestinya umat Islam tertunggu-tunggu model hudud PAS yang seharusnya dilaksanakan terlebih dahulu di negeri-negeri yang dikuasainya. Apa lagi negeri Kelantan yang sudah dimiliki lebih dua puluh tahun. Tatkala Pok Nik mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan melaksanakan hudud, DAP melalui Pengerusinya Karpal Singh pun melenting; mengatakan Pok Nik sudah nyanyuk. Kemudian, sebagaimana biasa, pimpinan tertinggi Pakatan bermesyuarat dan hasilnya, UMNOlah yang bersalah dalam hal ini. UMNOlah yang menggagalkan hukum hudud dan bersifat sekular. UMNO yang sebenarnya memainkan peranan dalam ‘agama suku’ politik suku’ di Malaysia ini.

Kini, isu homoseksual yang mendapat sokongan penuh Maharani BERSIH (sekutu rapat PAS) telah muncul dan perkara ini telah diulas panjang oleh bukan sahaja pemimpin UMNO, malah PAS. Zahir pada masa sekarang ini (Jumaat 4/11/11) menunjukkan bahawa PAS senada dengan UMNO untuk menolak kegiatan homoseksual yang dibawa oleh program Perhimpunan Seksualiti Merdeka. Namun, pembabitan Ambiga mencetuskan persoalan bagaimanakah PAS boleh berdikotomi dengan orang yang sama yang menganjurkan BERSIH itu. Orang yang sama juga sebelum BERSIH yang telah melancarkan tunjuk perasaan merendah-rendahkan martabat Islam dan menuntut agar undang-undang syariah dimansukhkan.

Tidak menjadi sesuatu yang menghairankan KALAU tiba-tiba pihak pemimpin Pakatan bersidang berkaitan isu homoseksual ini lalu apabila pendirian rasmi Pakatan dikeluarkan, maka UMNO jugalah yang dikatakan menjadi dalang kepada kegiatan tersebut. Akan keluarlah dalil aqli dan naqli kenapa UMNO dituduh sebagai punca kegiatan homoseksual ini berleluasa; mungkin sebab tak jalankan hukum hudud ka, mungkin sebab pendidikan ka, mungkin sebab gejala sosial ka yang semuanya ditujukan kepada UMNO.

Realitinya, apabila Tuan Guru Pok Nik mengeluarkan kenyataan ‘sokong kerana kebajikan, tak sokong homoseksual,’ kenyataan itu sendiri telah menguatkan lagi sikap PAS sendiri mengamalkan ‘politik suku, agama suku.’ Kerana PAS menyokong Ambiga dalam bab berpolitik sedangkan kita pun semua tahu, beliau tidak akan sama sekali menyokong undang-undang Islam dambaan PAS andai Pakatan menang PRU. Dan kini, PAS sendiri bertindak menentang Ambiga hal homoseksual yang ditegah dalam Islam (kerana perlakuan itu bersalahan dengan fitrah manusia).

Pendek katanya, PAS juga sebenarnya sebuah parti yang sekular!

Artikel berkaitan

Homoseksual: Satu sudut pandangan pertembungan budaya

Nik Aziz Tersekular?

Homoseksual: Antara pengiktirafan dan hukuman

Menjelang wukuf

November 4, 2011

Wukuf di Arafah merupakan kemuncak kepada peribadatan haji (walaupun ada yang berpendapat ibadah tawaf lebih pantas sebagai kemuncak haji) kerana pada hari tersebut, kesemua umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit, bahasa bahkan mazhab sekali pun berhimpun di sana. Untuk rekod, ibadah wukuf dalam mazhab Syafie ialah rukun haji; andai tidak dilaksana dikenakan dam dan tidak sempurna hajinya!
Bagaimanapun, wukuf bukan sekadar semata-mata perlu dihayati oleh mereka yang berhaji sahaja. Wukuf sebagai ibadah yang memberikan interpretasi bahawa kesatuan Islami boleh terjadi tanpa mengira status sosial, perbezaan bahasa dan halangan geografi. Kesatuan umat Islam tergambar apabila kesemua jemaah dikehendaki berpakaian putih yang menggambarkan kemurnian dan kesucian Islam itu sendiri. Sedangkah ibadah tawaf pun tidak semestinya perlu berihram dan tidak semestinya hanya dilakukan ketika haji; sebab itu penulis berpendapat wukuflah sebagai puncak kepada ibadah haji.

Dikhabarkan tiga juta umat Islam yang dipilih menjadi tetamu Allah akan hadir ke Arafah untuk berwukuf pada tahun 2011. Tiga juta ialah satu jumlah yang cukup signifikan kerana seramai itulah yang akan berada bersama-sama di satu kawasan tanah lapang yang pada kebiasaannya hanya terbiar sepi. Begitulah hebatnya himpunan ini yang kadang-kala ditafsirkan sebagai cerminan apa yang akan berlaku menjelang hari akhirat kelak apabila kesemua umat manusia akan dihimpunkan di mahsyar.

Kendatipun, kekuatan Islam sebenar bukanlah semata-mata kepada penonjolan betapa ramainya umat Islam yang tiga juta itu melainkan mestilah mengambil kira kesatuan umat dalam menghadapi sebarang cabaran di Arafah itu sendiri. Sebab penulis sendiri tidak pernah ke Makkah mungkin tidak dapat memberikan gambaran objektif berkaitan wukuf dan Arafah sebaliknya apa yang pasti ialah teknologi terkini seperti khemah berhawa dingin, kelengkapan dan keselesaan lain sudah semestinya cukup-cukup berbeza dengan keadaan satu ketika dahulu umpamanya pada zaman Nabi, zaman kedinastian Islam dan mungkin juga zaman lewat tujuh puluhan dan lapan puluhan! Ibadah wukuf kini telah disulam dengan kemudahan dan teknologi yang selolah- olah seperti menghilangkan aura wukuf itu sendiri.

Akan tetapi, harus juga diinsafi dengan kapasiti jemaah yang semakin meningkat, keperluan untuk menanggung jemaah juga yang semakin bertambah dan keselesaan serta keselamatan jemaah haji yang menjadi keutamaan, sudah semestinya usaha-usaha tersebut perlu dilaksanakan untuk kepentingan jemaah juga. Sudah semestinya mereka yang hadir menjadi tetamu Allah perlu diraikan dengan sebaik mungkin, moga-moga mereka beroleh haji nan mabrur. Haji yang mabrur tiadalah yang selayak balasannya melainkan syurga!

Justeru kita di tanah air sebagai yang masih belum mampu berhaji, wajar sekali mengambil teladan daripada himpunan raksasa yang mendemonstrasikan betapa Islam sebagai sebuah agama yang menitikberatkan kesatuan ummah. Andai mahsyar juga menjadi salah satu cerminan Arafah juga, maka seharusnya kita lebih bertanggungjawab atas segala hak dan nikmat yang telah dikurniakan oleh Ilahi kerana kesemuanya akan dipersoalkan kelak.

Selain itu, kelebihan amalan ketika hari Arafah sama ada untuk yang berhaji atau pun tidak, juga amalan-amalan pada hari raya haji dan hari-hari tasyrik, itu terlalu banyaklah jua di dalam buku-buku agama, blog-blog, laman sesawang keagamaan yang membincangkannya selengkapnya dengan dalil-dalilnya daripada puasa (pada hari Arafah), memperbanyakkan zikir, doa dan bacaan Al-Quran, bertakbir dan berqurban pada hari raya dan hari-hari tasyrik dan menghidupkan malam Raya Aidil Adha.

Sama ada mana raya antara Aidil Fitri dan Aidil Adha yang lebih besar telah pun penulis ulas sebelum ini di tajuk Beraya di Raya Haji pada tahun yang sudah . Kerana pada hemat penulis, bukannya kita hendak beratkan tradisi dan adat ketika sambutan melainkan keraian dalam erti kata ibadah yang sepatutnya diberatkan. Lebih-lebih lagi ‘Aid’ bukanlah semata-mata bersuka ria tak tentu hala (walaupun sememangnya sunnah untuk menzahirkan kegembiraan pada ketika itu).

Menjelang wukuf, marilah kita muhasabah sama ada umat Islam telah sebenar-benarnya memantulkan nuansa kesatuan sebagaimana yang dilakukan pada 9 Zulhijjah saban tahun. Serta sama ada umat Islam secara individunya sudah bersedia menghadapi keadaan selepas kehidupan dunia yang digambarkan pada waktu wukuf itu….

Atashinchi: Satira keluarga ketimuran yang semakin pupus

November 3, 2011

Bukan semuanya kartun itu bersifat kebudak-budakan dan untuk kanak-kanak. Terdapat kartun atau anime yang bersifat dewasa, kekeluargaan, super hero dan sememangnya wujud juga yang sasaran penontonnya ialah budak-budak. Dan kartun dewasa seperti The Simpson dan Futurama sebenarnya tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak tanpa bimbingan ibu bapa.

Salah satu kartun Jepun yang bertajuk Atashinchi yang mengisahkan keluarga Tachibana yang dilihat daripada perspektif seorang anak perempuan kepada keluarga tersebut. Watak-watak utama di dalamnya ialah anak perempuan tersebut (Mikan), ibunya, bapanya dan adik lelakinya (Yuzuhiko) yang daripada serba-serbi lebih bijak daripadanya. Sudah tentu lakaran kartun ibunya yang ditampilkan persis bentuk ibu jari (jempol) mempunyai daya tarikan tersendiri.

Jalan ceritanya pun memaparkan kehidupan biasa sebuah keluarga dengan pusat tumpuan kepada si Mikan; pergi ke sekolah, pulang daripada sekolah, aktiviti dengan rakan-rakan, dan mempunyai adik yang ‘lebih dimanjai’ ibu bapa, ‘lebih matang’ dan sangat digemari pelajar perempuan lain. Kerap juga kisahnya menggunakan kaedah kenangan (‘flashback‘) kisah lalu ketika watak utama dan adiknya ketika kecil, persis pengkisahan ibu kepada anak-anak, ‘kamu, dulu-dulu masa kecil, begini-begini…)

Sungguhpun perspektif kartun ini dilihat daripada kaca mata Mikan, si ibunya merupakan watak deuteragonis banyak membentuk kisah atau cerita di dalam kartun berkenaan. Kelakuan ibunya, perangainya yang kelam kabut, peranannya sebagai suri rumah tangga sepenuh masa yang perlu memasak, mengemas rumah, melayan anak-anak dan karenah suami yang begitu tipikal, yang kewujudannya sekadar menjelang lewat petang, kurang berkomunikasi dengan si ibu, anak-anak namun mempunyai sisi tertentu yang atipikal denga sikap tipikalnya. Ibu tersebut mempunyai pemikiran ‘suka berjimat,’ gemarkan ‘jualan murah,’ kelihatan selalu berbual-bual dengan ‘rakan-rakan ibu’ yang lain tentang kelakuan anak-anak dan suami, kadang-kala mencuri tulang tidur waktu siang. Memang emak yang tipikal juga si jempol ni!

Perkara-perkara yang demikian merupakan gambaran kepada sebuah keluarga nukleus yang tipikal dengan tanggungjawab materialnya bergantung kepada si bapa dan ibu bertindak sebagai bendahari dan pengurus sumber di rumah. Latar kartun yang memperlihatkan kemodenan tidak memungkinkan bahawa keluarga Tachibana berada sekitar 70-an dan 80-an dalam konteks Malaysia. Bermaksud zaman dalam kartun tersebut bolehlah dipadankan dengan zaman sekarang. Tak tahulah sama ada struktur keluarga yang ditonjolkan dalam kartun tersebut masih kekal di Jepun namun, nampaknya tidak bagi di Malaysia. Emak budak sudah semakin jarang yang bertaraf suri rumah sepenuh masa lantaran perlu bekerja bagi memenuhi keperluan dan kekurangan keluarga nukleusnya. Sehingga timbul pula jawatan dan pendapatan ibu lebih tinggi berbanding bapa yang menyebabkan cabaran kepada struktur perkahwinan itu sendiri. Dogma bahawa isteri hanya tinggal di rumah, menjadi ibu dan menguruskan rumah tangga sahaja semakin terhakis dan semakin diganti dengan imej ibu yang bekerja, bibik yang membantu rumah tangga dan anak yang dihantar ke pusat jagaan dan asuhan.

Tidak mahu mengulas positif-negatifnya keadaan sedemikian cuma apa yang pasti, kartun-kartun ‘keluarga ideal’ seperti Atashinchi dan lain-lain kelak mungkin akan sekadar menjadi rujukan cerita kenangan (‘flashback’) bahawa ‘dulu-dulu, struktur keluarga ialah segini segitu!

Politik bahasa (jangan tak faham bahasa)

November 1, 2011

Terkini

  • Berita Harian 1/11/11 melaporkan ugutan yang disampaikan oleh Pengerusi PAGE bahawa kesatuan mereka akan memberikan undi kepada pembangkang andai PPSMI tidak ditawarkan kepada pelajar sekolah.
  • Apa yang boleh dilihat disini ialah sudah ada pembauran politik di dalam perjuangan PAGE dan PPSMI sehingga menyebabkan pembangkang mendapat manfaat yang besar sama ada PPSMI diteruskan ataupun tidak!
  • Sekali gus menunjukkan pengenalan PPSMI tempoh hari merupakan bala ciptaan BN/UMNO sendiri yang memberi kelebihan kepada pembangkang.
  • Justeru perkara sebegini memberi pengajaran yang sangat-sangat memahitkan kepada pihak kerajaan supaya lebih berhati-hati, lebih berwaspada, lebih teliti dan lebih bersedia untuk melaksanakan dasar-dasar baru yang membabitkan kepentingan rakyat dan generasi rakyat seperti dasar pendidikan.
  • Kerana ternyata dalam beberapa aspek sekali pun, selepas perlaksanaan dasar tersebut, yang akan mendapat sokongan ialah pembangkang juga andai dasar yang dilaksanakan separuh masak!

Pendahuluan: Tarik tali PPSMI

  • Blog ini telah beberapa kali membincangkan bahasa[1].
  • Sedari awal kewujudannya, PPSMI masih dilaksanakan lagi; sehinggalah dasar ini dicadangkan untuk dimansukhkan.
  • Di peringkat penyokong kerajaan, UMNO Johor merupakan antara penentang dasar ini daripada dilaksanakan[2].
  • Di peringkat pembangkang; nampaknya dasar ini beria-ia sungguh ditentang; namun tidak tahulah sama ada yang menentang itu disebabkan bahasa Inggerisnya (jadi bukan bahasa ibunda) yang dijadikan pengantar atau benar-benar hendak memartabatkan Bahasa Melayu.
  • Masakan tidak, DAP sendiri suka menggunakan isu SJKC dipinggirkan, dianaktirikan; dan bukannya tuntutan agar SJKC menjadi sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu.
  • Di peringkat ahli akademik, PPSMI juga ditentang oleh Prof Diraja Ungku Aziz[3] dan Prof Shahrir Mohd Zain[4].
  • Kemuncak penentangan adalah apabila tunjuk perasaan dilaksanakan mebabitkan parti pembangkang dan golongan pendesak yang diadakan bagi menyerahkan memorendum untuk memansukhkan PPSMI[5].
  • Untuk rekod, sebelum kejayaan tunjuk perasaan tersebut, badan pendesak telah pun membuat satu piket di Sogo; akan tetapi, disebabkan tindakan mereka tidak menyertakan sekali pihak politik, piket tersebut kelihatan gagal.
  • Bagaimanapun, apabila A Samad Said pun diajak berceramah di pentas PAS, pihak PR pun tumpang sekaki menyertai tuntutan tersebut; lain pula ceritanya.
  • Perarakan dilakukan ke Istana Negara yang disertai oleh ribuan penyokong membuktikan betapa ramainya rakyat Malaysia yang menentang PPSMI.
  • Tetapi, sama ada orang ramai yang ikut turut serta bergerak dalam tunjuk perasaan itu faham ke tidak akan perjuangan sebenar kumpulan penganjur, tidak dapat dipastikan.
  • Setelah bertegas dalam ‘perjuangan’ mereka ini, akhirnya berbaloi juga hasilnya.
  • PM Najib setuju untuk menggantikannya kepada dasar baru yang akronimnya panjang dan mengelirukan: MBMMBI; yang intisarinya adalah untuk mengembalikan semula pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
  • Dasar tersebut dijadualkan berkuatkuasa 2012.
  • Ramai bersorak kerana kejayaan mengembalikan martabat Bahasa Melayu.
  • Namun, sorakan tersebut tidak bertahan; kembali sunyi.

Tuntutan PAGE

  • Kini, wujud pula badan pendesak dengan hasil kajian mereka yang menyebut majoriti ibu bapa mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
  • Mereka saban hari mengemukakan hujah, dan keluar di media massa bagi merasionalkan pengekalan PPSMI.
  • Mereka inilah yang digelar PAGE[6].
  • Mereka mahukan ibu bapa diberi pilihan untuk menetapkan sama ada anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu (tak ke pening kepala cikgu nanti???).
  • Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada akan wujud pembabitan ahli politik yang mahu mempertahankan PPSMI.
  • Oleh sebab itu, janganlah kita hendak hairankan kelak akan ada tunjuk perasaan, berarak ke Istana Negara, rumah Najib, parlimen, atau Kementerian Pelajaran bagi mempertahankan PPSMI.
  • Macam yang penulis pernah utarakan sebelum ini, andai ditanya pendapat penulis, sudah tentu pandangan penulis memihak kepada Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu – semua sebab persekitaran pembelajaran penulis.

PAGE sendiri tak sokong PPSMI dahulu??? – carilah sokongan ahli politik!

  • Namun, secara politiknya juga, PAGE sendiri tidak langsung menyokong kerajaan semasa kerajaan sedang melaksanakan PPSMI.
  • Mereka tidak bertindak membela kerajaan, melakukan langkah proaktif terlebih dahulu bagi merasionalkan mengapa PPSMI penting.
  • Perjuangan mereka hanya kelihatan wujud setelah pengumuman PPSMI dimansukhkan.
  • Dan kini, mereka berteriak dengan bersungguh-sungguh mahukan PPSMI dikekalkan – apa kehal?
  • Apa ke halnya semasa orang dok beramai-ramai serbu istana negara PAGE ini tidak menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan dasar negara?
  • Kenapa sedari awal lagi PAGE tidak membuat kajian sendiri bagi menunjukkan bukti yang PPSMI berkesan?
  • Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, hanya tunggu masa sahaja untuk perjuangan PAGE ini mendapat sokongan pihak politik.
  • Mereka mestilah pandai membuat rapport dengan parti politik (tak kiralah kerajaan ke pembangkang) bagi membolehkan himpunan ramai, kaliber pemimpin untuk memperjuangkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.
  • Soal parti politik itu, pandai-pandai parti tersebut untuk putar alam mengatakan mereka sokong PPSMI – sebab korupsi ke, sebab ketirisan ke, sebab ketaktelusan ke, soal kepentingan bangsa ke, soal kehendak ibu bapa ke, soal kemajuan negara ke, soal bahasa antarabangsa ke… itu mereka memang pakar dok buat hari-hari!

Kemelut BM di universiti

  • Itu tadi cerita PPSMI.
  • Bahasa Melayu juga hendak diperkukuhkan penggunaannya di peringkat universiti.
  • Universiti tempatan telah digesa untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajarannya.
  • Malah, Menteri Pengajian Tinggi menyarankan untuk menjadikan kreteria kenaikan pangkat pangkat pensyarah membabitkan penerbitan bahan akademik dalam Bahasa Melayu.
  • Pensyarah disaran untuk menerbitkan artikel jurnal dalam Bahasa Melayu supaya bahasa ini akan mampu dimartabatkan di peringkat yang lebih tinggi lagi.
  • Malah, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin pun menggesa Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pendulu kepada usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
  • Malangnya, hala tuju pengajian tinggi Malaysia bukan kesemuanya memihak ke arah menggunakan bahasa kebangsaan sendiri dalam sama ada penerbitan, persidangan, simposium dan lain-lain.
  • Jurnal yang dipetik ISI[7]; begitulah antara gesaan pihak pentadbir universiti kepada bukan sahaja pelajar pascasiswazah malah kepada pensyarah sendiri bagi meningkatkan kedudukan universiti di dalam senarai universiti dunia kerana penerobosan artikel di senarai petikan ISI akan meningkatkan pemarkahan universiti di dalam senarai prestij tersebut.
  • Sedangkan ramai yang sedia maklum, terbitan-terbitan yang dipetik oleh ISI majoritinya ditulis dalam bahasa Inggeris.
  • Malah, bukannya mudah untuk menerbitkan artikel di dalam jurnal-jurnal yang dipetik oleh ISI kerana kreterianya mungkin tinggi, memerlukan masa yang panjang untuk diterbitkan kerana senarai akan terbitnya sudah berderet-deret; sehingga kadang-kala, hantar artikel tahun ini, tahun depan pun belum tentu terbit.
  • Bukan hendak menidakkan keperluan penarafan dan pemarkahan (ranking & rating) universiti-universiti di Malaysia namun, keperluan memartabatkan ilmu Malaysia juga penting agar bidang akademik kita berkembang mengikut acuan kita dan dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat kita sendiri.

Cadangan pangkalan data keilmuan dalam Bahasa Melayu

  • Justeru dengan kewujudan jurnal atau terbitan Bahasa Melayulah yang akan menjadi antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan keupayaan Bahasa Melayu kerana penggunaan bahasa juga mencerminkan bangsa; bak kata pepatah, bahasa jiwa bangsa!
  • Terbitan Bahasa Melayu bukan sahaja perlu diperkasa, malah perlu dirai oleh ahli akademik sendiri kerana apalah gunanya andai terbitan dalam Bahasa Melayu berlambak-lambak namun tidak pula dikaji, dipetik atau dimanfaatkan oleh ahli akademik sendiri.
  • Oleh yang demikian, bagi merealisasikan seruan, gesaan Menteri Pengajian Tinggi dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu pangkalan data terbitan Bahasa Melayu perlulah diwujudkan untuk menyediakan runag dan peluang ilmuan mengkaji, melapor dan menerbitkan hasil kajian dalam Bahasa Melayu.
  • Selain itu, apabila wujudnya pangkalan data tersebut, universiti/IPT di Malaysia hendaklah mengambil kira terbitan dalam Bahasa Melayu pula dalam sebarang usaha penarafan institusi peringkat domestik. Hal ini bermaksud, setiap universiti perlu memastikan sama ada ahli akademiknya atau pelajarnya (pra atau pascasiswazah) menerbitkan tulisan yang dipetik oleh pangkalan data ini pula (iaitu mestilah dalam Bahasa Melayu).
  • Pada masa yang sama, setiap IPT juga hendaklah diwajibkan untuk memetik sumber terbitan dalam Bahasa Melayu dalam setiap penulisan mereka tak kiralah penulisannya ini ditulis dalam Bahasa Melayu mahupun bahasa lain misalnya Inggeris.
  • Dengan cara ini, artikel atau sumber dalam Bahasa Melayu akan dapat diperbanyakkan, kualitinya pula boleh dijaga dan impaknya pula akan dapat diperkenalkan dan diperluaskan.
  • Juga akan menyebabkan makalah, tulisan dan buku-buku dalam Bahasa Melayu lebih diraikan oleh ahli akademik dan pelajar pengajian tinggi.
  • Dan usaha sebegini pastilah memerlukan kerjasama kesemua institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia sama ada awam mahupun swasta seperti kewujudan jawatankuasa peringkat nasional untuk mengawal selia, dan menyunting terbitan-terbitan tersebut.
  • Pangkalan data ini perlulah sentiasa dikemaskini bagi memastikan kekiniannya dan sentiasa releven.
  • Setelah daripada itu, barulah kita boleh menjalankan usaha mengantarabangsakan terbitan kita ke luar negara, melibatkan sama institusi-institusi di alam Melayu dan Nusantara untuk menyertai dan membabitkan diri dalam terbitan berbahasa Melayu seterusnya diperluaskan lagi ke peringkat Asia dan dunia.
  • Barulah usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menjadi lebih konkrit dan kelangsungan Bahasa Melayu dapat dipastikan dan diteruskan. Kemudian, usaha sebegini mampu meletakkan Bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa ilmu yang lain seperti Bahasa Inggeris, bahasa Eropah dan Bahasa Jepun.

Sains, matematik dan bahasa

  • Rumusannya, memartabatkan bahasa bukanlah semata-mata usaha berasingan ahli politik, ahli akademik, pihak kerajaan dan pihak institusi sahaja sebaliknya perlu digembleng bersama-sama agar sinergi antara semua pihak dapat diwujudkan dan kelebihan masing-masing akan dapat diteroka dan dimanfaatkan bersama.
  • Soal pembelajaran Sains dan Matematik merupakan satu contoh apabila gangguan politik berjaya menjadikan sistem pendidikan huru-hara tanpa sebarang ketentuan. Janganlah hendaknya setelah tiga empat tahun kedua-dua subjek ini diajar dalam Bahasa Melayu selepas perlaksanaan MBMMBI, dasar ini ditukar semua; semuanya disebabkan intervensi ahli politik.
  • Malah, pemberatan ‘Sains dan Matematik’ memperlihatkan betapa sistem pendidikan, dasar kerajaan dan ahli masyarakat Malaysia terlalu pentingkan sangat kedua-dua subjek tersebut seolah-olah Bahasa Melayulah Sains dan Matematik dan Sains dan Matematik itu ialah Bahasa Melayu.
  • Sedangkan bahasa ialah medium, perantara, penyampai kepada hasrat dan matlamat kelimuan kedua-dua bidang tersebut.

Realiti Bahasa Melayu di segenap aspek di Malaysia

  • Bagaimanakah pula dengan bidang-bidang lain, perundangan misalnya yang mana sehingga kini pun, masih banyak menitikberatkan Bahasa Inggeris?
  • Hujahan peguam/pendakwa, hujahan kehakiman masih banyak yang ditulis dalam bahasa Inggeris sampaikan Karpal Singh[8] pun berani pertikaikan hujah kehakiman sebagai ‘melanggar tuntutan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang unggul.’ Bidang undang-undang di universiti misalnya masih menekankan keputusan Bahasa Inggeris sebelum dipertimbangkan dan penulisan dalam Bahasa Inggeris juga semasa mengikutinya.
  • Begitu juga dengan bidang-bidang selain Sains dan Teknologi; pengantar yang dititikberatkan ketika di peringkat universiti berubah kepada Bahasa Inggeris, misalnya pentadbiran perniagaan, ekonomi, politik dan teknologi maklumat. Yang mungkin kekal ialah Sejarah dan Pengajian Islam, itu pun atas sebab-sebab yang tertentu, ada subjek Pengajian Islam yang memerlukan subjek diajar dalam Bahasa Arab.
  • Bahasa Melayu sekadar dijadikan bahasa untuk TITAS, pengajian kenegaraan dan mungkin subjek-subjek am sahaja.
  • Malah, ada universiti yang berorientasikan membantu bangsa Melayu namun tidak pula menggunakan pengantar dalam Bahasa Melayu. Paradoks apakah yang sesuai untuk kita namakan keadaan ini?
  • Bukanlah menidakkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk kegunaan pendidikan, cuma usaha juga perlu dilakukan untuk mengangkat pembudayaan Bahasa Melayu dalam segenap bidang yang wujud di peringkat pengajian tinggi.
  • Kalau bukan keseluruhannya yang boleh dilaksanakan, jangan pula ditinggalkan langsung. Oleh sebab itu, pembangunan pangkalan data ilmu dalam Bahasa Melayu haruslah dilaksanakan dan diperkasakan.
  • Agar usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan sekadar bertanam tebu di pinggir bibir, yang mana ahli bahasa, sasterawan dan mereka yang berkaitan hanya diambil peduli, digunakan dan disokong dengan sebab-sebab politik sahaja sedangkan selepas itu, menghilang begitu sahaja.

Diskriminasi bahasa di alam pekerjaan[9]

  • Itu pun belum lagi cerita sektor pekerjaan apabila Bahasa Melayu ‘diputusnasabkan’ langsung dalam keperluan bahasa semasa temu duga lantaran bahasa lain yang menjadi nilai tambah yang bererti.
  • Memang betul, tak akan hilang kemelayuan Melayu yang berbahasa Melayu, tetapi tidak akan hilang juga identiti bangsa dan syarikat tersebut senadainya kakitangannya berbahasa Melayu.

Mana mereka yang ‘memperjuangkan bahasa?

  • Apabila kita bercerita tentang Bahasa Melayu, bukan cerita tentang bangsa Melayu semata-mata melainkan kedudukan dan kepentingannya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Mengapa pejuang mansukh PPSMI tidak pula berarak bawa keranda melintasi Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, sekitar KLCC bagi memprotes iklan-iklan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris – andai benar Perkara 152 itu benar-benar hendak diperjuangkan?
  • Atau buat protes besar-besaran ketika persidangan ekonomi dan kewangan domestik mahupun peringkat antarabangsa yang diadakan di Malaysia sendiri kerana sangat-sangatlah cenderung menggunakan Bahasa Inggeris.
  • Bukankah perkara-perkara sedemikian turut mencabuli dengan serakus-rakusnya Perkara 152 itu?

Penutup bicara

  • Pendek katanya, usaha memartabatkan Bahasa Melayu memerlukan sokongan semua pihak sama ada pihak kerajaan, institusi, pelajar institusi dan lebih-lebih lagi ahli politik.
  • Kerana kebanyakkan ahli politik kita pandai mengambil peluang dan ruang.
  • Suka berbicara umpama mahir bersepak dan terajang,
  • Apabila matlamat dan hasrat politik tercapai.
  • Jadilah dia (terhadap pejuang bahasa) daripada ‘Hai-hai’ kepada ‘Bye-bye!’

[1] Misalnya di blog ini bertajuk Bahasa kita tanggungjawab kita, Bahasa oh bahasa, Kata permainan bicara dan Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi serta blog yang satu lagi seperti Apabila sastera dipolitikkan.

[2] Lihat Abdul Ghani Othman, Hidup Melayu Bersatu, (Johor Bahru: Pejabat Menteri Besar Johor, 2009), 109-127. Misalnya dalam konvensyen UMNO yang menggesa agar peranan Bahasa Melayu dikembalikan semula ke tempat asalnya dan hal inilah juga yang dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO. Beliau mendedikasikan satu bab di dalam buku tersebut membincangkan isu bahasa.

[3] Prof Diraja Ungku Aziz menyifatkan dasar PPSMI ini sebagai ‘gila.’ Lihat Isahak Haron, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang kukenal, dlm. Hashim Yaacob et al., The Renaissance Man (KL: UM Press, 2010), 144.

[4] Malah, Dr Shahrir Mohd Zain sendiri bertindak sebagai Timbalan Pengerusi badan penekan yang digelar Gabungan Mansuhkan PPSMI.

[5] Perarakan ini berlaku pada 7 Mac 2009 yang digelar sebagai ‘Perarakan Keranda 152.’ Antara ahli politik yang menyertainya ialah Sahibul Fadhilah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan ‘pejuang tokoh merdeka’ Mohamad Sabu.

[6] Perjuangan mereka pun menggunakan kata-kata ‘demi anak bangsa!’ Lihat laman web rasmi mereka di http://www.pagemalaysia.org/news.php.

[7] Institute of Scientific Knowledge milik syarikat multibilion dolar Amerika, Thomson Reuters. Setiap tahun, ISI sendiri akan mengeluarkan artikel berkaitan faktor impak (impact factors) untuk setiap terbitan yang dipetik olehnya dan faktor impak inilah yang menjadi penanda aras taraf atau perkiraan prestij jurnal-jurnal tersebut.

[8] Namun Karpal Singh sendiri menzahirkan rasa malu apabila ada dikalangan YB yang kurang fasih berbahasa Inggeris menunjukkan betapa oppurtunisnya peguam ini dalam ‘memperjuangkan Bahasa Melayu’ dan janganlah disangka yang beliau ialah seorang ‘pejuang bahasa’.

[9] Isu ini turut dibincangkan oleh MB Johor Dato’ Abdul Ghani Othman sebagai diskriminasi siswazah Melayu hanya sebab dikatakan tidak fasih berbahasa Inggeris dan keperluan Bahasa Mandarin sebagai prasyarat memasuki alam pekerjaan sebahagian syarikat di Malaysia. Lihat Abdul Ghani Othman, Hidup Melayu Bersatu, 98-101.

Jalan-jalan di kotaku

September 23, 2011

Pengenalan

Jalan raya merupakan satu utiliti yang sangat penting bagi menampung keperluan asasi manusia, juga sebagai penyambung kelangsungan ekonomi negara. Pertambahan kenderaan saban tahun menunjukkan betapa pentingnya jalan raya dalam kehidupan rakyat Malaysia. Ramai di kalangan rakyat Malaysia menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta dan motorsikal walaupun insentif penggunaan kenderaan awam giat dijalankan. Sungguh pun begitu, bukanlah bermakna kenderaan awam di Malaysia tidak mendapat sambutan kerana berlaku ‘kesesakan’ luar biasa di stesen-stesen LRT, bas dan komuter di ibu kota terutama pada waktu puncak.

Sebagai pengguna tegar jalan raya, adalah amat penting untuk jalan yang dilalui oleh penulis tiap-tiap hari lancar bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Bagaimanapun, hal itu jarang-jarang sekali berlaku baik ketika penulis berada di Lembah Klang mahupun ketika berada di kampung halaman di Kulai. Hal ini disebabkan di kedua-dua tempat tersebut, kesesakan jalan raya merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Keadaan hanya akan reda sedikit menjelang hari-hari minggu namun kesesakan di tengah-tengah kota tetap berlaku dek kerana begitu ramai manusia hadir untuk berlibur dan membeli-belah.

Akibat sesak

Hakikatnya, kesesakan jalan raya pada waktu puncak merupakan sesuatu yang merunsingkan pengguna jalan raya sehingga mungkin boleh menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti kelewatan, pertambahan kos kerana penggunaan minyak yang tidak efisyen dan tidak kurang juga menyebabkan tekanan psikologi. Bayangkan pengguna Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) perlulah keluar rumah mungkin seawal subuh bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku antara jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi! Pengguna terpaksa keluar lebih awal bagi menggunakan lebuh raya tersebut sedangkan pada asasnya, masa ‘punch card‘ adalah dua atau tiga jam selepas mereka keluar rumah. Andai kita pukul ratakan masa pergi dan masa balik lebih kurang sama, pengguna mungkin menghabiskan masa sekitar empat jam sehari atau hampir sehari dalam seminggu hanya untuk terlibat dalam kesesakan jalan raya!

Pertambahan perumahan di kiri dan kanan lebuh raya merupakan antara faktor terbesar yang menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Sekali lagi mengambil contoh LDP, sepanjang lebuh raya tersebut tidak lekang dari perumahan sama ada baru ataupun lama; dari plaza tol di sempadan Kepong sampailah ke plaza tol di sempadan Serdang/Putrajaya. Malah, jalur jalan sepanjang Puchong akan bertambah lagi dengan perumahan-perumahan baru yang akan bakal menambahsesakkan lagi LDP.

Pembangunan tak dirancang?

Oleh yang demikian, adakah pembangunan kiri dan kanan jalan raya boleh dijadikan sebagai faktor utama penyumbang kesesakan jalan raya? Semakin bertambah perumahan di sepanjang jalan raya utama, semakin bertambah kebarangkalian jalan itu untuk menjadi sesak dek bertambahnya pengguna jalan tersebut. Aggapan sebegini ada kebenaranya kalau kita lihat kes LDP tadi. Kenderaan acap kali meningkat dan begitu juga perumahan. Begitu juga di lebuh raya Pasir Gudang apabila begitu banyak perumahan baru dibuka di sepanjang jalan yang berusia lebih sedekad itu. Dengan jalan yang masih kekal sama selama sedekad sedangkan kenderaan dan perumahan setiap masa bertambah, mana mungkin lebuh raya tersebut mampu menampung kenderaan yang menggunakannya!

Pertambahan perumahan juga menjadi punca kepada satu masalah terbitan iaitu pertambahan simpang di jalan raya. Pertambahan simpang pula akan mendorong aliran trafik yang lebih lembab dek kerana hendak melayan ‘hak’ pengguna yang ingin masuk/menyusur ke simpang tersebut. Kesannya, kenderaan yang melalui kawasan susur/simpang akan memperlahankan kenderaan mereka; ada yang dari lorong kanan hendak susur ke kiri begitu juga selepas simpang/susur, ada juga kenderaan dari kiri hendak ke kanan. Bagi bandar padat seperti Kulai, keadaan lebih kelam-kabut apabila laluan sehala pergi dan balik yang dipisahkan dengan penghadang jalan masih mempunyai simpang yang membolehkan kenderaan dari arah kanan masuk ke simpang yang berada di seberang kanan jalan (melintasi jalan yang berlawan arah).

Oleh yang demikian, sering kali berlaku kelewatan trafik apabila ada kenderaan yang mengeksesais hak mereka untuk masuk ke simpang sebelah kanan jalan dengan terpaksa berhenti di laluan bahagian kanan jalannya disebabkan untuk mencuri peluang ‘melintas’ jalan yang melawan arus. Pastilah kenderaan yang mengekori dari belakang akan menjadi mangsa kepada kenderaan hadapan yang ingin ‘mengambil’ simpang masuk ke kanan kerana terpaksa berhenti terlebih dahulu, menanti kenderaan lawan arus tiada dan barulah melintas masuk ke simpang tersebut. Hal tersebut tidak dapat tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi pada waktu kenderaan padat.

Traffic light=traffic jam

Simpang-siur di jalanan biasanya akan cuba diselesaikan sama ada dengan membuat persimpangan bertingkat mahupun meletakkan lampu isyarat. Malangnya, bagi kedua-dua cara pun, ada sahaja masalah yang tercetus disebabkan ‘penyelesaian’ tersebut. Persimpangan bertingkat bermaksud susur ke kiri dan susur juga sebenarnya banyak menyumbang kepada pengguna memperlahankan kenderaan mereka kerana ada yang ingin menyusur ke kiri dan ada juga yang hendak keluar dari kiri. Kebanyakkan kesesakan lalu-lintas di Lembah Klang disebabkan perkara tersebut contohnya dari Angkasapuri ke jambatan kabel susur ke LDP (Kelana Jaya), juga dari arah bertentangan ke persimpangan ke Seremban.

Begitu halnya dengan lampu isyarat. Setiap lampu isyarat untuk setiap simpang akan menyebabkan aliran trafik yang kurang lancar. Simpang berlampu isyarat yang sangat berhampiran antara satu dengan yang lain juga menambahrumitkan keadaan. Cuba bayangkan seandainya pada waktu puncak, kenderaan banyak dan ada dua persimpangan berlampu isyarat yang sangat hampir antara satu dengan yang lagi satu. Di persimpangan pertama mungkin lampu berwarna hijau (jalan) namun di simpang kedua lampu masih merah. Bukankah hal demikian menyebabkan kenderaan masih tersekat di antara dua persimpangan sedangkan lampu isyarat pertama telah hijau. Lebih menambah rumit adalah apabila kenderaan hadapan masih tidak boleh bergerak sedangkan kenderaan di belakang sudah tiba di tengah-tengah simpang, lalu warna lampu isyarat yang hijau telah bertukar merah. Hal yang demikian akan menjadikan suasana kelam-kabut kerana apabila tiba peluang kenderaan lain melintas simpang tersebut bertembung dengan kenderaan yang masih tersekat di tengah-tengah simpang?! Hari ini, keadaan tersebut boleh dilihat terutamanya di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur seperti persimpangan Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang. Malah, keadaan yang hampir sama berlaku waktu petang di jalan utama Saleng menghala ke pusat bandar Kulai serta laluan bertentangan pada waktu pagi (dari Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim ke arah Senai) apabila pihak majlis dari semasa ke semasa sentiasa menambah persimpangan berlampu isyarat disebabkan mungkin tuntutan pengguna atau penambahan demi penambahan taman-taman perumahan di sekitar Kulai.

Kajian

Justeru, dengan graviti yang telah dibentangkan tentang pembangunan di kiri dan kanan jalan utama, adalah sangat penting untuk pihak berkuasa berkait pembangunan dan perancangan bandar untuk membuat kajian yang tuntas berkait dengan pembangunan bandar. Boleh saja kita luluskan pelbagai taman perumahan sebab dengan meluluskannya, kerajaan juga yang akan mendapat serba-serbi dari cukai pintunya, cukai tanahnya, lesen niaganya, tapi apabila bab jalan raya, tidak dibuat pula ramalan (forecasting) tentang berapa banyak kenderaan yang akan lalu, apakah kesan pembukaan simpang baru kepada simpang sedia ada, adakah kelebaran jalan yang sedia ada dapat menampung kepadatan kenderaan pada waktu puncak dan pelbagai lagi persoalan berkaitan jalan dan perancangan jalan. Mungkin nampak remeh tetapi hakikatnya, kelangsungan keharmonian sesuatu kota itu mungkin bergantung kepada kelancaran aliran trafik di bandar tersebut.

Kaliber kontraktor

Pun begitu, dalam keghairahan pihak berkuasa menyediakan yang terbaik untuk rakyat, janganlah pula sehingga apa yang hendak dibuat itu menambahburukkan lagi keadaan sedia ada. Kadang-kala, kecekapan kontraktor yang dilantik oleh mereka boleh dipertikaikan sehingga menyebabkan yang sesak bertambah sesak. Contohnya, apalah gunanya lobang di jalan itu ditampal atau jalan itu diturap semula hanya untuk menjadi sopak semula selepas seminggu. Atau kontraktor yang tidak cekap sehinggga masa yang diperlukan untuk naiktaraf bertambah-tambah (dan sudah tentulah kos pun bertambah). Contohnya di sepanjang kawasan HICOM Shah Alam yang penulis saksikan sedari 2008 (kali pertama melalui kawasan tersebut) keadaan jalan semacam ‘under construction‘, sekarang ini, sudah bertukar kerajaan negeri pun masih sama sahaja keadaannya; macam jalan rosak yang semakin rosak!

Atau kini seperti di kawasan Senai yang pembinaannya berjalan seperti kura-kura sedangkan Senai merupakan kawasan perindustrian dan sudah pastilah mempunyai jumlah kenderaan yang banyak pada waktu pagi dan petang. Untuk makluman, simpang utama Senai kini dalam pembinaan persimpangan bertingkat dan pembinaan bolehlah dikatakan sudah berusia dua tahun. Kini, pekerja di kawasan Senai dari arah Johor Bahru perlu membuat pusingan-U di tapak plaza tol lama Kulai hanya untuk berjalan hampir dua kilometer untuk memasuki simpang ke kawasan perindustrian Senai. Oleh sebab itu waktu pagi misalnya, dicampur dengan kesesakan trafik di kawasan Saleng, mereka yang tinggal di Kulai akan menghadapi masalah kesesakan bertimpa-timpa dari Kulai, plaza tol lama Kulai (kerana menghadapi aliran trafik pemandu yang membuat pusingan-U dari arah JB) dan pembinaan persimpangan bertingkat di Senai. Tak kena gaya, masa yang diperuntukkan hanya untuk menghadapi kesesakan trafik bertimpa-timpa ini adalah sekitar satu jam!

Kesan trafik

Penyakit trafik sebegini tidak dapat tidak akan menyebabkan penyakit lain melanda manusia yang terlibat dengannnya. Tekanan emosi, perasaan marah, cabaran kesabaran dan tekanan fisiologi pasti akan dirasai oleh pengguna yang sering terbabit dengan kesesakan jalan raya. Tatkala trafik yang sesak, adrenalin akan meningkat mengakibatkan degupan jantung bertambah. Pada masa yang sama, tekanan darah dalam badan juga akan meningkat mengakibatkan rasa stress. Stress yang luar kawalan akan menyebabkan hipertensi. Hipertansi berterusan boleh menyumbang kepada penyakit jantung dan/atau angin ahmar (stroke). Sebab itu ada seorang pensyarah penulis di Universiti Malaya yang pernah berseloroh, ‘Duduk di KL ni cepat mati. Sebab orang asyik tersekat di traffic jam je…’ Kajian lanjut tentang trend kesesakan lalu lintas dan penyakit kronik wajar dijalankan kerana bukan sahaja kita dapat memahami kesan kesesakan trafik terhadap kesihatan, kita juga akan lebih memahami apakah tahap kesihatan generasi masa kini berbeza dengan yang terdahulu disebabkan faktor trafik?

Selain tekanan fisiologi dan psikologi, kesesakan trafik juga boleh kita kaitkan dengan ketidakpuasan hati masyarakat. Bayangkan seorang pekerja kolar putih yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik tiap-tiap hari, sudahlah di tempat kerja ada masalah, di jalan raya pun ada masalah, akhirnya mereka akan berasa bosan dengan masalah jalan raya yang sentiasa berulang. Perlu diingat juga kenderaan di jalan raya akan bertambah saban tahun; maka sudah pasatilah tekanan di jalan raya juga akan bertambah saban tahun! Rakyat sebenarnya sudah semakin bosan, tertekan dan menyampah dengan keadaan tersebut dan oleh sebab itu, mereka pasti hendak meluahkan kemarahan mereka terhadap ketidakcekapan jalan menanggung trafik. Sudahnya, di kertas undi jualah tempat mereka menyatakan protes. Mungkin agak samar untuk dikaitkan, namun kesesakan jalan raya sebenarnya boleh jadi pencetus awal rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan dan perkara tersebut diakumulasikan dengan pelbagai faktor lain (seperti ketidakcekapan kerajaan, persepsi negatif daripada pihak pembangkang) menyebabkan rakyat terutamanya yang berada di bandar-bandar besar beralih arah menyokong pembangkang pada 2008. Masyarakat bandar jelas sekali mempunyai keperluan yang berbeza berbanding masyarakat luar bandar dan seandainya keperluan ini (seperti aliran trafik lancar) tidak diambilkira, mereka pasti mengambil alternatif lain untuk meluahkan rasa tidak puas hati melalui kertas undi. Kesannya, undi popular kerajaan BN di kawasan bandar nyata sekali merosot teruk kerana rakyat telah mengeksesais hak mereka.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kesesakan jalan raya bukanlahs sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan pihak berkuasa. Perancangan pembangunan perlulah dipantau dan unsur trafik harus menjadi salah satu daripada atribut yang peelu diambilkira oleh pihak berkenaan. Lantiklah mereka yang layak untuk membaiki jalan dan janganlah biarkan tikus-tikus membaiki labunya. Lebih penting lagi, kerajaan harus merenung fakta berikut, cukai jalan dibayar, beli kenderaan pun bercukai, nombor plat kena bayar, cukai pintu dan cukai tanah kena bayar. Lesen memandu, lesen itu dan ini pun kena bayar. Lebih sakit lagi, kalau di Lembah Klang misalnya, hari-hari kena bayar tol hanya untuk tersekat dalam kesesakan lalu lintas; maka apakah nilainya apa yang dibayar?

Rakyat tidak hanya nilai prestasi parti tiap lima tahun sekali, rakyat juga menilai jalan raya yang mereka lalui tiap-tiap hari…..

Harimau rongak

July 31, 2011

Dalam banyak keadaan, rakyat cuba juga menimbal/menampan (buffer) kegagalan skuad bola sepak negara di kempen pra-kelayakan Piala Dunia dengan memberikan harapan kebangkitan bola sepak negara berterusan dan mampu mempertahankan pingat emas Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF.

Hakikatnya, kegagalan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal tidak boleh sama sekali dipandang enteng oleh sama ada pemain, jurulatih  mahupun FAM sendiri. Kita sebenarnya membawa reputasi besar selaku juara Asia Tenggara untuk ke kelayakan Piala Dunia dan kegagalan itu sebenarnya membangkitkan persoalan sama ada layakkah kita memikul tanggung jawab itu?

Hal ini boleh dibandingkan dengan beberapa pasukan tetangga yang mana mempunyai tahap kekuatan yang setara Malaysia (dan kini terbukti lebih kuat); yang gagal dalam Piala AFF namun melangkah megah ke kelayakan Piala Dunia 2014.

Barangkali perlu diingat bahawa kita sebenarnya terlepas peluang yang sangat besar untuk maju ke pusingan seterusnya kerana lawan kita pada pra-kelayakan yang lalu adalah Singapura. Pada masa akan datang, belum tentu kita dapat bertembung dengan tetangga kerana undian rawak akan dibuat untuk pra-kelayakkan dan kita mungkin akan bertemu gergasi bola sepak Asia seawal pusingan kedua.

Oleh yang demikian, memang benarlah saranan Naib Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa agar kegagalan ini diambil serius kerana andai tidak, kebangkitan yang diharap-harap sekadar manis di mulut namun realitinya, kita sekadar menang bersorak sahaja. Walaupun tidaklah kesalahan itu diletakkan sepenuhnya kepada 11 orang yang bermain, tetapi barang perlu diingat, sorakan ‘pemain kedua belas’ belum tentu menjamin kelangsungan skuad bola sepak negara sebagaimana di Bukit Jalil Khamis (28/7/2011) lalu.

Pada akhirnya, harus sekali penambahbaikkan dibuat agar kemajuan bola sepak akan dapat dikekalkan malah ditingkatkan supaya rakyat ada sebab untuk menyokong mereka. Sebab adat di Malaysia, menang sorak-sorakkan, kalah, faham-faham sahajalah…

Perkhidmatan awam berkualiti: Satu pengenalan

July 29, 2011

Pada era pentadbiran PM Najib, pentadbiran awam Malaysia secara khususnya dan rakyat secara amnya telah didedahkan dengan beberapa istilah yang memanifestasikan perubahan dalam pentadbiran yang hendak beliau laksanakan. Ada istilah yang mungkin asing bagi kita, ada juga yang berbentuk kependekan yang lebih membawa maksud ‘perubahan.’ Antaranya NKRA, GTP, KPI, NKEA, ETP, benchmarking, MBE/NEM, GST, dan PTP. Dari masa ke masa, istilah-istilah ini telah ‘diiklankan’ di dalam akhbar utama bagi memberikan penerangan panjang lebar kepada rakyat tentang hala tuju, tujuan, objektif, langkah-langkah dan pencapaian daripada program-program yang dilaksanakan. Ada juga kolumnis/ruang minda pengarang yang mengulas keberkesanan, keperluan dan kritikan tentang program-program tersebut.

Hanya masa sahaja yang bakal mementukan sama ada program-program tersebut akan berjaya ataupun tidak. Apa yang pasti adalah momentum program tersebut perlu diteruskan agar matlamat mencapai negara maju akan dapat direalisasikan. Barang perlu diingat bahawa segala rancangan yang telah direncanakan hanya akan berjaya seandainya terdapat sistem yang bersinergi antara mereka yang merancang dan mereka yang melaksana kerana kalau tidak, rancangan-rancangan tersebut hanya tinggal pelan dan lukisan di lembaran-lembaran sahaja.

Kebanyakan istilah-istilah yang diperkenalkan merupakan istilah-istilah ciptaan dan baru melainkan KPI dan benchmarking. Kedua-dua istilah ini merupakan jargon peningkatan kualiti dan memainkan peranan dalam menetapkan sasaran yang hendak dicapai bagi satu-satu organisasi. Disebabkan kualiti perkhidmatan itu bersifat ‘maya’ (intangible), pengoperasian perlu dilakukan bagi mengukur tahap kualiti sesuatu perkidmatan.

Bagi pihak pelanggan luaran/pengguna, soal selidik berskala, bilangan aduan dan syer pasaran (bagi organisasi berasaskan keuntungan) merupakan beberapa aspek yang boleh digunakan bagi mengukur kualiti perkhidmatan. Namun bagi pelanggan dalaman (pekerja), pihak pengurusan mungkin boleh mengukur pencapaian kerja mereka menggunanakan petunjuk pencapaian utama (KPI) dan penanda aras (benchmarking). Suka diingatkan bahawa dalam apa jua yang dilaksanakan, adalah sangat penting untuk ‘pengurus’ memahami apakah KPI atau tanda aras kerana seperti pepatah inggeris, garbage in, garbage out.

KPI misalnya memerlukan indeks yang releven dan realistik bagi mencapainya. Kalau dikatakan KPI adalah bilangan permohonan yang diluluskan, lulus yang bagaimana yang hendak dijadikan sebagai perkiraan? Kalau semua permohonan diluluskan tetapi pemohonan tersebut tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka apakah hendak dikira juga sebagai pemohon yang lulus? Sistem yang bagaimana yang perlu dipraktikkan agar tahap kelulusan dapat disegerakan tetapi syarat-syarat kelulusan itu tidak dicabar.

Kadang-kala, prosedur yang lapuk juga menjadikan sistem penyampaian di sektor awam menyebabkan kelewatan pemprosesan sesuatu keperluan. Akhirnya, sesuatu keputusan yang mungkin mudah akan mengambil masa sehingga berbulan-bulan sedangkan sela masa boleh diminimumkan. Oleh sebab itu, KPI yang mungkin boleh digunapakai lebih baik menjurus kepada masa proses berbanding jumlah yang terproses. Kalau secara konvensionalnya mengambil sebulan, KPI yang boleh diletakkan mungkin dalam masa 20 hari. Dari itu, pihak pengurusan perlulah membuat sumbang-saran bagi mendapatkan satu sistem yang boleh menjimatkan sepuluh hari proses dengan sumber yang sedia ada. Adalah penting unsur kecekapan dan keberkesanan dirangkumkan di dalam setip perubahan agar tidak sesekali menambahkan kos yang perlu dikeluarkan.

Adakalanya, sesuatu yang hendak diukur tampak begitu samar sehinggakan pengurus dan pentadbir berasa sukar untuk membentuk alat ukuran kualiti. Mungkin prosedur yang telah digunakan selama ini telah tepu dan agak sukar untuk diubah. Oleh sebab itu, mungkin kita boleh mengambil contoh dari organisasi lain yang mungkin lebih baik daripada kita untuk kita contohi. Dalam keadaan inilah yang dikatakan kita membuat penanda aras (benchmarking). Sesebuah organisasi membandingkan sesuatu sistem dan proses dengan organisasi lain yang mempunyai sistem dan proses yang hampir sama. Hak ini bagi membolehkan pengurus dan pentadbir lebih terbuka minda bagi melihat idea-idea yang baik yang boleh diaplikasikan dalam organisasi sendiri.

Sebagai contoh, satu-satu Majlis Bandaran yang ingin menambahbaikkan prosedur permohonan lesen. Bolehlah majlis tersebut mengambil pendekatan dengan melihat sistem dan prosedur dari Majlis Bandaran yang lain pula bagi melihat kekurangan yang wujud dalam prosedur sedia ada. Barangkali, penambahbaikan laman web yang membolehkan pembayaran secara atas talian, permohonan atas talian dan adua atas talian. Penggunaan ICT pada masa kini adalah sesuatu yang tidak dapat tidak, justeru adalah wajar untuk penambahbaikan dilaksanakan terhadap laman web yang sedia ada. Disebabkan laman web bersifat tanpa batasan, organisasi boleh mengakses laman web organisasi yang lain bagi membuat tanda aras bagi penambahbaikan.

Bagi peringkat kementerian, terutamanya yang terlibat dengan prosedur jangka panjang seperti pembukaan syarikat luar di Malaysia, segala prosedur perlulah disegerakan bagi menarik minat pelabur untuk melabur dan membuka kilang di Malaysia. Kita tidak mahu disebabkan prosedur yang terlalu memakan masa, pelabur kurang minat untuk membuka kilang di Malaysia dan beralih arah ke negara lain untuk melabur. Oleh sebab itu, kementerian yang berkenaan boleh membuat penanda aras dengan melihat kepada prosedur kementerian di negara lain yang boleh menawarkan sela masa yang lebih cepat bagi memberikan keuntungan bukan sahaja kepada syarikat, malah kepada negara melalui FDI. Kita tidak mahulah kita berteriak hendak menjadi hub ini dan hub itu tetapi sudahnya, orang lain banyak menuai keuntungan pelaburan terus hanya kerana prosedur di negara kita lebih panjang berbanding negara orang.

Kesimpulannya, kedua-dua alatan kualiti ini boleh meningkatkan pencapaian kerajaan dalam mencapai transformasi yang diinginkan. Bagaimanapun, alatan ini hanya akan tinggal istilah yang gah disebut seandainya kerajaan tidak mempunyai komitmen penuh untuk melaksanakannya. Adalah sangat-sangat penting untuk kepimpinan di setiap peringkat mempunyai aspirasi yang sama bagi membuat penambahbaikan terhadap sistem penyampaian kerajaan. Ketaksuban kepada kualiti akan memberikan dorongan bagi membuat penambahbaikan berterusan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Janganlah kita ‘syok sendiri’ menggunakan jargon yang kita sendiri tak faham hingga akhirnya, segala perancangan hanya gah pada nama sahaja tetapi perlaksanaannya kosong!