Skip to content

Masalah BN pasca-konvensyen sekian kalinya

December 8, 2010

 

BN melaksanakan apa yang dikatakan sebagai Konvensyen BN buat sekian kalinya dalam masa sembilan tahun. Bayangkan sebuah parti yang begitu lama wujud di Malaysia hanya mampu melakukan satu konvensyen besar-besaran sembilan tahun sekai! Sudah pastilah kita harapkan parti tersebut ‘lebih buat kerjanya’ berbanding asyik berceramah siang dan malam tetapi tidak dapat melaksanakan apa yang diceramah, melainkan makian, kutukan dan cercaan terhadap orang lain.

Buat julung kalinya jugam ucapan Pengerusi BN ada menyentuh perihal parti lawan mereka, PR setelah sekian lama peranan tersebut giat dieksersaiskan oleh PR. Selama ini, PM Najib hanya secara ‘pasif’ memberi respon terhadap tuduhan-tuduhan PR terhadap BN, dalam ucapan semalam, nyata sekali beliau tidak berselindung apabila memperkatakan secara terus kepincangan PKR, DAP dan PAS serta kerjasama-kerjasama antara ketiga-tiga parti.

Bagaimana pun, ada pihak yang melihat konvensyen yang diadakan oleh BN tidak lebih melainkan tindakan populis bagi mengembalikan semangat ahli-ahlinya yang semakin hari semakin gundah-gulana. Di pihak komponen Sarawak masih tertanya-tanya sama ada akan wujudkah pilihan raya berasingan sebagaimana biasa atau pilihan raya serentak? Dengan umurnya semakin meningkat, siapakah yang bakal mengganti Ketua Menteri penuh kaliber, Tan Sri Pehin Seri Taib Mahmud? Parti-parti komponen lain terutama yang besar seperti MCA dan MIC pun masih belum kelihatan transformasinya (melainkan bertukar kepala atasnya). Gerakan, yang baru kehilangan tokoh besarnya, sebenarnya masih samar dalam hala tuju pasca-2008; adakah hendak kekal sebagai parti sampingan atau mahu cuba menawan semula Pulau Pinang.

Sesungguhnya hanyasanya walaupun UMNO kelihatan ‘kembali kuat,’ komponen lain sebenarnya masih terasa desingan penangan PRU 12 yang begitu memeranjatkan. Malah, UMNO pun masih gerun penangan perebutan kuasa di kalangan ahlinya setelah melihat betapa huru-hara, lintang-pukang dan kelam-kabutnya pemilihan PKR baru-baru ini. Secara idealnya, pemilihan sedemikian (satu ahli satu undi) memanglah yang paling demokratik. Akan tetapi apabila janji dan realiti tidak sepadan dengan keadaan ideal dan lebih buruk lagi dicemari pelbagai tuduhan dari ahli sendiri, status sebagai tindakan demokratik kini lebih kepada tindakan menjerat diri.

Maka keadaan sebeginilah yang bakal menjerat UMNO andai mereka tidak dapat mengawal mekanisma pemilihan pada masa akan datang. Tatkala pemimpinnya menggunakan huru-hara PKR kini untuk menghentam habis-habisan PKR (kaw-kaw), mereka juga perlu bersiap-sedia akan sebarang huru-hara yang mungkin berlaku kelak. Sewajarnya pemimpin UMNO tidak terlalu mendabik dada kerana mereka masih belum teruji dengan kaedah pemilihan baru yang membabitkan lebih ‘ramai’ ahli.

Selain itu, pada umumnya BN perlu perlu mengembalikan keyakinan rakyat yang dahulu tidak memilih mereka agar kembali menyokong mereka. Hal inilah yang paling sukar dibuat terutamanya apabila keputusan PRU 2008 diambil kira. BN kehilangan bukan sahaja undi popular, BN juga menghadapi masalah besar apabila dikotomi bandar-luar bandar menjadi semakin nyata. BN kini dilihat lebih gah mendominasi kawasan luar bandar dan perkara sebegini adalah ironi kerana BN sendiri meletakkan pembangunan sebagai salah satu agenda mereka, maka apakah pembangunan itu sendiri telah menjerat mereka sehingga kehilangan banyak undi di kawasan yang sudah terbangun seperti di bandar?

Kawasan bandar yang dikuasai ramai pengundi Cina masih mengekalkan dominasi sokongan mereka terhadap DAP. Bukanlah rahsia bahawa BN melalui MCA amat sukar menembusi kawasan gah bandar seperti Bukit Bintang, Seputeh dan Ipoh. Pun begitu, di kawasan yang mempunyai keserakan kaum yang hampir sama yang dahulunya boleh dimenangi BN kini banyak memihak kepada PR. Contohnya di Kuantan, Bandar Tun Razak dan Titiwangsa. Malah, kawasan majoriti besar Melayu seperti Shah Alam pun memihak kepada PR. Negeri kubu kuat BN pun menerima kehadiran PAS dan DAP. Ada yang menyifatkan kemenangan PAS di Johor adalah disebabkan orang Cina pun memangkah PAS. Perkara demikian menunjukkan pengaruh BN semakin terhakis di setiap aras sosiopolitik dan yang demikian belum tentu dapat diubah dengan semata-mata mengharapkan jargon 1Malaysia sahaja.

Dari segi yang lain juga, permasalahan rakyat semasa PRU 12 tidak banyak diselesaikan menjelang PRU 13. Pembangkang masih bertelingkahan sesama sendiri sehingga melupakan sama sekali janji mereka kepada rakyat. Krisis kepimpinan semakin menjadi-jadi akibat kekebalan Anwar sebagai ketua umum PR yang mula dipersoal. Di pihak BN, tidak semua masalah mereka dapat selesaikan. Isu kos sara hidup tinggi, harga barang yang secara konsisten meningkat, masalah kerja sekufu yang masih berlaku (contoh: belajar biokimia, kerja salesman), mutu perkhidmatan awam yang sentiasa dipertikaikan (fluktuasi kualiti yang ketara) dan pelbagai lagi permasalahan kecil dan besar. Adalah amat menghairankan dalam satu pentas perhimpunan agung, PM Najib begitu memberi sokongan kepada perkhidmatan awam, malah bertindak menempelak mereka yang menyatakan bahawa perkhidmatan awam kita masih kurang efisyen, sedangkan di satu pihak yang lain, Timbalan Menterinya sendiri melaporkan bahawa aduan ketidakpuasan di Biro Pengaduan Awam meningkat. Kita boleh memuji mana yang baik namun bukan bermakna kita harus menolak sama sekali maklum balas negatif orang terhadap kita. Bukankah dalam ucapan keramatnya PM Najib ada berkata bahawa ‘zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir?’ Kalau maklum balas rakyat tidak mahu diambil kira pada masa kini, maka apakah  baru hendak ditimbangkan andai parti kerajaan lingkup pada PRU 13?

Justeru, BN sebenarnya masih berada dalam ruang lingkup mereka tersendiri lagi. Masih bersifat elitis (elitist) disebalik hebahan bahawa mereka kebanyakan (common). Masih berlaku ekslusif disebalik dakwaan mereka inklusif. Mungkin penambahbaikan itu ada, namun adakah mencukupi? Dalam ruang politik dan ekonomi yang semakin menekan, memang ada wajarnya diadakan PRU seawal mungkin bagi mengambil kesempatan kehuru-haraan pihak lawan. Hal ini pastinya bagi membolehkan lebih banyak lagi agenda yang mungkin tidak memberikan ‘keselesaan’ kepada rakyat dapat dibuat. Tambahan pula, berasaskan keadaan semasa, tekanan harga barang masih sukar dibendung; maka eloklah disuruh rakyat membuat pilihan ketika rakyat masih mengambil perhatian kepada kerajaan BN sebelum BN ‘terlebih’ beri perhatian tak munasabah (dengan ‘menyusun semula subsidi’ atau ‘menyelaraskan semula harga bahan api’ atau ‘menstruktur semula kos utiliti’)  kepada hidup mereka…   

No comments yet

Leave a comment