Skip to content

‘Double standard’ Pembangkang

April 10, 2011

Acap kali rakyat dihidangkan dengan kesungguhan pihak pembangkang Malaysia (PR) untuk menegakkan kebenaran dalam pelbagai isu/skandal berkait kerajaan/agensi kerajaan. Kaedah yang paling digemari oleh pembangkang dalam mencari kebenaran ini adalah melalui suruhanjaya siasatan diraja. Apa sahaja yang boleh dikaitkan sebagai skandal kerajaan, maka suruhanjaya siasatan dirajalah yang begitu dicadang dan dicanang oleh pembangkang. Seolah-olah itulah sahaja cara bagi mendapatkan kebenaran.

Kita lihat kes Chua Soi Lek. Mereka begitu tegar menyuruh suruhanjaya dibuat bagi mencari ‘kebenaran’ disebalik isu video lucah pemimpin MCA tersebut. Kita pun tak tahu apa kebenaran yang mereka hendak dapatkan kerana kalaulah persoalan moral yang hendak disiasat, nyata sekali pemimpin pembangkang juga mempunyai masalah moral. Tetapi, semuanya ditolak tepi sebab yang diperkata di sini adalah Chua Soi Lek dan yang hendak dibicarakan adalah Chua Soi Lek. Suruhanjaya siasatan Chua Soi Lek tidak diwujudkan namun, bak kata orang putih, ‘the damage had been done.’

Dalam kes Teoh Beng Hock, lain pula kisahnya. Pembangkang mencanang isu kematian mendiang seakan-akan wujud konspirasi besar dalam kes tersebut. Mereka berjaya menjadikan isu kematian mendiang seakan-akan skandal abad ini dengan membuat tunjuk perasaan, melibatkan keluarga mendiang untuk membawa gambar mendiang ke hulu ke hilir bagi menagih simpati; sampai ke pilihan raya kecil, seolah-olah masej yang hendak disampaikan ialah ‘kalau nak undi, kenangkanlah mendiang Teoh Beng Hock yang tak terbela lagi.’ Mereka memburuk-burukan SPRM seolah-olah SPRM ada motif untuk bunuh Teoh Beng Hock.

Awal cerita kes Teoh Beng Hock, pembangkang beria-ia benar menuntut agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan. Ibu, adik dan tunang Teoh dilibatkan sama untuk menangis-nangis bagi menuntut bela kematian mendiang. Namun, kerajaan pada ketika itu menyatakan ada tiga perkara yang akan dibuat berkait kes tersebut. Membuat inkues, menubuhkan suruhanjaya diraja dan meneliti semula prosedur siasatan SPRM. Maka inkues pun dijalankan.

Semua pun tahu hasil inkues yang memberikan keputusan terbuka. Maka pembangkang meletuplah dengan merasakan keadilan tidak ditegakkan. Selagi ‘pembunuh’ Teoh tidak dipersalahkan, maka selagi itu keadilan tidak tertegak. Pada ketika itu, sudah bergema sekali lagi tuntutan agar suruhanjaya siasatan diraja diadakan. PM Najib yang perihatin mengabulkan permintaan tersebut. Tapi pembangkang masih tidak berpuas hati apabila hakim yang masih dalam perkhidmatan menjadi pengerusi. Mungkin, sebenarnya mereka ingin menuntut Karpal Singh atau Gobind Singh yang menjadi pegerusi.

Tup-tup, bila suruhanjaya diraja ditubuhkan, keluarga Teoh Beng Hock pula dinasihatkan (baca: diminta) oleh peguam Karpal Singh (pembangkang) untuk tidak turut serta. Mereka pun setuju. Kini, setelah sekian lama berjuang untuk penubuhan suruhanjaya diraja kematian Teoh Beng Hock, pembangkang sendiri yang tarik diri (meminta keluarga Teoh tarik diri) daripada menyertai suruhanjaya tersebut. Bukankah perkara ini menjadi sesuatu yang memusykilkan?

Kini, dari sehari ke sehari suruhanjaya berlangsung, kita dihidangkan dengan salah laku orang pembangkang tertentu yang sebenarnya mencalarkan sama sekali kredibiliti pembangkang sebagai pejuang keadilan, kesamarataan dan anti-rasuah. Mungkin inilah sebab utama pembangkang menarik diri daripada suruhanjaya yang mereka sendiri perjuangkan sedari awal kes kematian Teoh Beng Hock. Bila pekung sendiri hendak ditogelkan, mana mungkin mereka hendak menunjuk muka mereka.

Terbaru, video seks yang mengaitkan pemimpin agung anugerah Tuhan didedahkan, tiada seorang pun daripada kalangan pembangkang yang menyuarakan untuk penubuhan suruhanjaya siasatan diraja. Baik DAP, juara suruhanjaya siasatan diraja, PAS, parti yang mengaku lebih Islam dari yang umat Islam yang lain mahupun PKR, parti pimpinan Anugerah Tuhan yang tiada cacat cela; kesemuanya seolah-olah sepakat supaya tak perlu diwujudkan suruhanjaya siasatan diraja. Pelik, hairan bin ajaib. Tujuh keajaiban dunia!

Sebetulnya, elok dibuat suruhanjaya siasatan diraja kerana dengan itu, bolehlah PR mentogelkan BN dalam permainannya. Bukankah PR begitu yakin lagi percaya yang pelakon di dalam video itu bukan Anwar Ibrahim. Kalau dah bukan, KEADILAN dan KEBENARAN perlu ditegakkan. Kita pun hendak tahu siapa yang membuat angkara hendak mencalarkan kredibiliti bakal pemimpin agung dunia ini. Benarkah sebagaimana yang telah diyakini dan dipercayai oleh penyokong Anwar bahawa video klip ini angkara UMNO? Atau menurut Anwar yang memang gemar meletakkan kesalahan kepada polis SB sebagai angkara?!

Tetapi tidak. Pembangkang sepakat supaya suruhanjaya diraja tidak perlu diwujudkan kerana sudah menjadi kes polis. Malah, mereka meyalahkan pihak polis tidak megambil tindakan terhadap Datuk Trio yang mendedahkan video klip itu. Pembangkang sekali lagi putar alam memutarkan isu klip video tersebut kepada orang yang menayangkan klip video. Sedangkan, dalam kes-kes sebelum ini, mati-mati mereka berkehendakkan agar suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi mengenalpasti pelakon dalam klip video. Bukankah ini sesuatu yang aneh?

Tuntas kata, pembangkang sebenarnya tidak segan silu melacurkan prinsip mereka sendiri untuk kepentingan sendiri. Mereka sentiasa mengambil peluang untuk mengelak daripada ‘terkena’ dan seboleh-boleh berusaha ‘mengenakan’ orang lain. Sebab itu, pada hemat penulis, tak kiralah siapa pelakon di dalam klip video terbaru ini, orang yang sebenar-benarnya yang ingin menjatuhkan Anugerah Tuhan Anwar Ibrahim adalah dikalangan pembangkang sendiri. Mereka mengambil kesempatan dek kesempitan dan masalah yang Anwar hadapi untuk menjatuhkan Anwar tetapi lepas itu, boleh berpakat pula dengan yang lain untuk menyalahkan pula pihak lain (baca: UMNO/BN/polis) sebagai dalang.

Konspirasi terbaru ini memperlihatkan wajah sebenar pembangkang yang double standard. Dan mungkin juga menunjukkan sebenarnya betapa keadilan dan kebenaran adalah perkara terakhir yang hendak dicari oleh pembangkang….       

 

No comments yet

Leave a comment